TUMPAT, 11 Jan (Bernama) -- Demi mendapatkan pendidikan, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) sanggup menaiki bot setiap hari dari Kampung Pulau Tongkang ke sekolah meskipun berdepan keterbatasan fizikal akibat masalah tulang sejak kecil.
Siti Nur Najwa Zulkifli, 19, yang mengalami masalah tumbesaran tulang tetap hadir pada hari pertama persekolahan dengan penuh keterujaan sebelum meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Beluru, Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).
Ibu pelajar itu, Siti Rashidah Mamat, 49, berkata anak kedua daripada lima beradik itu juga pernah mempunyai seorang adik OKU yang telah meninggal dunia pada 2021, Allahyarham Muhammad Idham.
“Siti Nur Najwa mula mengalami masalah tulang ketika berusia dua tahun apabila berat badannya tidak bertambah, menyebabkan tulang tangan, belakang, kaki dan betis membengkok. Beliau hanya mampu mengengsot sebelum boleh berjalan pada 2014.
“Beliau memiliki kad OKU dan masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pengambilan kalsium,” katanya ketika ditemui di SMK Pulau Beluru di sini hari ini.
Siti Rashidah berkata anaknya yang mempunyai berat 15 kilogram dan tinggi 90 sentimeter kini mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) peringkat menengah, dengan kemahiran dipelajari termasuk menulis, memasak dan latihan pertuturan walaupun sebutannya masih terbatas.
Beliau berkata Siti Nur Najwa perlu menaiki bot dengan tambang RM3 pergi balik, dan jika ketiga-tiga anaknya bersekolah, kos meningkat kepada RM9 sehari, menyebabkan kehadiran anaknya bergantung pada tahap kesihatan.
“Siti Nur Najwa sebenarnya pandai menulis, cuma sukar menyebut perkataan. Beliau juga mudah menangis kerana malu apabila diperhatikan banyak orang.
“Kami tidak membeli baju sekolah baharu untuknya kerana pakaian lama masih elok. Hanya dua adiknya kami belikan baju baharu memandangkan suami saya, Zulkifli Mustafa, 47, bekerja sebagai nelayan dan elaun OKU yang diterimanya hanya RM1,800 setahun,” katanya.
Beliau berkata pihak sekolah banyak membantu termasuk mengiringi Siti Nur Najwa ke tandas serta memastikan kebajikannya terjaga manakala di rumah keluarga menguruskan makan minum kerana anaknya sukar mencapai makanan sendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial