BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 AM

Pelan Anti Rasuah Kementerian Pertahanan Dirombak Tahun Ini - Mohamed Khaled

12/01/2026 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pelan Anti Rasuah Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan dirombak secara besar-besaran pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan kepercayaan rakyat serta memperkukuh integriti dan tatakelola sektor pertahanan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semua proses tender dan perolehan juga akan disemak semula serta ditambah baik selaras dengan amalan terbaik.

“MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu membanteras rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.

“Tidak akan ada toleransi atas apa jua kecurangan, dan bersedialah untuk hilang segalanya jika anda adalah penyebab sektor keselamatan kita dikompromi,” katanya pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Beliau berkata perbuatan rasuah menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu serta boleh mengancam keselamatan anggota tentera.

Mohamed Khaled berkata rasuah juga boleh menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan serta mengurangkan keberkesanan ATM sebagai agensi pertahanan nasional yang utama.

“Rasuah merosakkan keperibadian anggota kita yang terdidik dengan disiplin serta boleh menyebabkan kita tidak mampu bersaing sebagai sebuah negara kuasa pertengahan... kerana rasuah, berlaku ketirisan dan akhirnya kita tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tanah air serta anggota kita,” katanya.

Beliau berkata bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam sistem pertahanan nasional, kementerian akan terus memperkukuh penguatkuasaan peraturan serta perkara membabitkan disiplin dengan tegas.

Selama dua hari berturut-turut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan dana dalam pasukan terbabit.

Pada 8 Jan lepas, seorang bekas Panglima Tentera Darat direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia. 

SPRM turut menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6.9 juta serta 23 utas jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta, dipercayai berkaitan siasatan kes itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan