| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
SEREMBAN, 12 Jan (Bernama) -- Isu kepadatan murid di beberapa sekolah di sekitar Nilai dijangka dapat diatasi apabila Kompleks Sekolah Desa Casuarina Nilai, dekat sini bakal beroperasi tahun depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Khalidah Omar berkata pembinaan sekolah menengah dan rendah baharu di kawasan itu merupakan antara langkah utama kerajaan dalam mengatasi sekolah padat yang mempunyai bilangan murid serta pelajar melebihi 40 orang dalam satu-satu kelas.
Beliau berkata JPNS komited dalam menangani kepadatan sekolah yang semakin ketara di kawasan berkenaan disebabkan terletak bersempadan dengan negeri Selangor.
“Kita akui memang ada kesesakan dalam kelas terutama di kawasan tumpuan seperti di Nilai Impian, Taman Semarak dan Desa Cempaka, namun pembukaan sekolah baharu itu nanti dijangka dapat mengurangkan masalah itu secara berperingkat.
"Pertambahan penduduk dan faktor bersempadan dengan Selangor menyebabkan berlakunya kepadatan kerana ada ibu bapa yang bekerja di Selangor tapi tinggal di Nilai, itu antara punca utama berlaku kesesakan di dalam kelas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3 dan pembukaan prasekolah baharu bersempena hari pertama persekolahan di sini hari ini.
Selain pembinaan sekolah baharu, Khalidah berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pemaju melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menambah bilik darjah di sekolah sedia ada di sekitar Nilai sebagai langkah sementara.
"Kami memberikan komitmen penuh bahawa setiap anak boleh bersekolah, tapi bukanlah sekolah yang ibu bapa inginkan. Ini adalah matlamat kami untuk memastikan kebajikan dan akses pendidikan pelajar di negeri ini terus terpelihara walau apa keadaan sekalipun," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial