BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 SUKAN

TFC Perlu Kekal Momentum Kemenangan

12/01/2026 02:51 PM

KUALA NERUS, 12 Jan (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan menjelang aksi Liga Super menentang DPMM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, esok.

Beliau berkata kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC Sabtu lepas menjadi suntikan semangat untuk skuad Penyu mengutip tiga mata penuh bagi merapatkan jurang dengan Selangor FC yang berada pada tangga keempat liga ketika ini.

Selain itu, kemenangan esok diharap menjadi pengubat kekecewaan serta menambat semula hati penyokong untuk kembali ke stadium.

“Saya mahu pemain terus konsisten dengan disiplin dan semangat juang yang tinggi. Setelah sekian lama tidak memperoleh kemenangan, ia akan menjadi pencetus kepada pemain untuk memberi persembahan terbaik kerana kita wajib mendapatkan tiga mata,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada masa sama, Tengku Hazman mengingatkan pemain agar berwaspada dengan DPMM FC yang kini berada pada tahap prestasi terbaik setelah melakar kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.

Justeru, beliau berharap dapat menurunkan dua pemain import baharu, iaitu Ehsoni Panjshanbe dan Mabatshoev Shervoni bagi mengemudi bahagian tengah serta serangan.

“Saya perlu menilai dahulu keadaan dua pemain ini dari segi kecergasan dan sebagainya kerana mereka baru sahaja tiba di sini.

“Selain itu,  tiada rombakan besar akan dilakukan. Kita kekal dengan skuad sama ketika bertemu PDRM FC tempoh hari,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan