AM

Kerjasama Kerajaan, Ibu Bapa Dan Warga Pendidik Penting Untuk Kejayaan Sistem Pendidikan - PM Anwar

12/01/2026 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Kejayaan sistem pendidikan negara tidak hanya bergantung kepada dasar dan peruntukan, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan pendidikan terus menjadi keutamaan negara, dan hubungan mantap antara semua pihak penting untuk memastikan anak-anak menerima sokongan menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.

“Dengan memastikan pendidikan berkualiti berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak, serta bersedia menghadapi cabaran dengan semangat dan keyakinan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, Anwar berkongsi lawatannya bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ke Sekolah Kebangsaan Sungai Besi serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwong Hon dan Sungai Besi, bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Beliau berkata BAP adalah inisiatif penting kerajaan untuk meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Perdana Menteri berkata lawatan itu turut memberi peluang menyantuni murid-murid yang baru melangkah ke alam persekolahan.

“Melihat keterujaan mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa, tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.

“Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri,” katanya.

Bermula tahun ini, kalendar akademik bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali pada Januari, susulan peralihan sejak 2022 akibat pandemik COVID-19.

Sesi persekolahan bagi Kumpulan B iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini, manakala Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan