EKONOMI

Bursa Malaysia Lancar Indeks BMQ Dan BMQ-S Bagi Syarikat Kukuh Kewangan

12/01/2026 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd hari ini melancarkan Indeks Kualiti 50 Bursa Malaysia (BMQ) dan Indeks Kualiti 50 Syariah Bursa Malaysia (BMQ-S), iaitu indeks pertama yang dibangunkan secara dalaman berdasarkan kepada prestasi kewangan.

Bursa itu berkata profil indeks BMQ dan BMQ-S menyenaraikan syarikat yang menunjukkan ciri-ciri kewangan yang agak kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan.

Faktor-faktor ini diukur melalui pulangan ke atas ekuiti, nisbah hutang kepada ekuiti dan aliran tunai operasi berbanding keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti, tambahnya.

“Setiap indeks terdiri daripada 50 syarikat daripada Pasaran Utama dan Pasaran ACE yang bukan sebahagian daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM LCI), penanda aras utama pasaran di mana sebahagian besar permodalan pasaran dan fokus utama pelabur,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata bursa itu menyaksikan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan muncul merentas pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18 peratus daripada kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S.

“Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, memastikan syarikat Malaysia dengan asas kewangan kukuh dapat dilihat dan diakses oleh pelabur, sambil menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia,” tambahnya.

Menurut Bursa Malaysia, kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya terdiri daripada sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Bagi memastikan indeks mencerminkan syarikat yang sesuai untuk dijadikan penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih mesti memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

“Indeks ini akan dikaji semula dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan