AM

800 Pelajar Memerlukan Disantuni Menerusi Program Jom Ke Sekolah 2026

12/01/2026 07:09 PM

KUANTAN, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 800 pelajar menerima set kelengkapan sekolah bernilai keseluruhan RM160,000 menerusi Program Jom Ke Sekolah Parlimen Indera Mahkota 2026.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu memberi manfaat kepada murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima daripada kalangan asnaf, fakir miskin dan keluarga berpendapatan rendah.

“Sebagai permulaan, pada Sabtu lepas, saya bersama-sama pasukan Pusat Komuniti MADANI Indera Mahkota telah menganjurkan Program Jom Ke Sekolah Parlimen Indera Mahkota 2026 di Dewan Atabara, Kuantan.

“Program ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan malah menjadi antara langkah proaktif dalam memperkukuh akses pendidikan dan mengurangkan risiko keciciran pelajaran khususnya di Indera Mahkota dan amnya di seluruh Pahang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang hadir dengan penuh komitmen dan sokongan termasuk yang hadir seawal pagi bagi memeriahkan program yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Yayasan Bank Rakyat, Yayasan Taqwa-MAIWP serta Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki. 

Sementara itu, Ahmad Farhan memaklumkan usaha itu tidak terhenti di Indera Mahkota semata-mata, malah turut diperluas dengan peruntukan 100 baucar set kelengkapan sekolah bagi setiap Parlimen di Pahang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM150,000 pada peringkat negeri.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh itu mencerminkan hasrat untuk memastikan tiada anak Pahang tercicir daripada alam persekolahan hanya disebabkan kekangan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan