KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menegaskan bahawa penyediaan penghakiman bertulis adalah tanggungjawab asas seorang hakim, dan sebarang kelewatan dalam mengemukakan alasan penghakiman boleh menjejaskan pentadbiran keadilan serta hak pihak litigasi untuk merayu.
Beliau berkata kewajipan memberikan keputusan beralasan membolehkan semua pihak, khususnya mereka yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan, memahami asas penghakiman dan seterusnya melaksanakan hak untuk merayu secara berkesan.
Wan Ahmad Farid menekankan bahawa demi kepentingan orang ramai yang menunggu penyelesaian kes, badan kehakiman tidak boleh membiarkan jentera keadilan tersekat.
“Secara terus-terang, tempat kerja telah sedia, tetapi perkhidmatan mesti disampaikan tepat pada masanya.Jika beban kerja itu tidak lagi dapat ditanggung, pengunduran kekal merupakan pilihan yang bermaruah,” katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2026, di sini hari ini.
Semasa sidang media kemudian, apabila ditanya sama ada ungkapan “pengunduran kekal merupakan pilihan yang bermaruah” merujuk kepada meletak jawatan atau bersara, Wan Ahmad Farid menjelaskan bahawa ia boleh ditafsirkan sedemikian.
Beliau mengakui kekecewaan pihak litigasi yang ingin memfailkan rayuan, tetapi mendapati bahawa walaupun keputusan telah diumumkan lama, asas penghakiman bertulis tidak disediakan dalam tempoh lapan minggu seperti yang ditetapkan.
Bagi menangani isu ini, beliau berkata Akademi Kehakiman akan mengambil pendekatan sokongan terlebih dahulu dengan memahami cabaran yang dihadapi hakim, sebelum sebarang tindakan tegas dipertimbangkan.
Namun begitu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap bilangan penghakiman bertulis tertunggak di Mahkamah Tinggi yang semakin meningkat.
Memetik pandangan bekas Presiden Mahkamah Persekutuan Tun Mohamed Suffian Hashim, yang menekankan bahawa tugas hakim ialah menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih, Wan Ahmad Farid menegaskan bahawa keadilan juga mesti disampaikan tanpa kelewatan yang tidak wajar.
“Seorang hakim yang menanggung sepuluh atau lebih alasan penghakiman yang masih belum disiapkan memikul beban berat, bukan sahaja terhadap sistem, tetapi juga terhadap hati nurani sendiri. Anda tahu siapa diri anda,” katanya.
Walaupun hakim yang menghadapi cabaran akan terus diberikan sokongan, Wan Ahmad Farid menegaskan bahawa sokongan tersebut mempunyai had.
“Bangku kehakiman adalah tempat bagi mereka yang mampu menanggung bahang api. Saya perlu berlaku adil kepada pihak-pihak yang berlitigasi. Saya juga perlu berlaku adil kepada hakim Mahkamah Rayuan yang tidak dapat meneruskan pendengaran rayuan hanya kerana alasan penghakiman Mahkamah Tinggi masih belum tersedia,” katanya.
Menyentuh mengenai statistik, beliau berkata antara 2021 hingga November 2025, pendaftaran kes jenayah meningkat daripada 1,522,005 kepada 2,486,567 kes, iaitu kenaikan 63.37 peratus.
Dalam tempoh sama, beliau berkata pendaftaran kes sivil meningkat daripada 303,335 kepada 483,933 kes, mewakili pertambahan 59.54 peratus.
“Angka-angka ini mencerminkan satu trend struktur dan bukannya lonjakan sementara. Dari sudut positif, masyarakat yang semakin cenderung berlitigasi ialah masyarakat yang mempunyai keyakinan terhadap institusi kehakiman.
“Namun, di sebalik tekanan yang semakin meningkat ini, hakim dan pegawai kehakiman di semua peringkat terus melaksanakan tugas dengan profesionalisme, ketekunan dan komitmen, berusaha sedaya upaya memastikan kes diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, perlu dinyatakan secara jujur bahawa kecekapan tidak boleh dikekalkan tanpa sokongan institusi yang sepadan. Terdapat had semula jadi terhadap jumlah beban kerja tambahan yang boleh ditanggung tanpa menjejaskan kesejahteraan dan kualiti pembuatan keputusan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial