PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius insiden letupan semasa kerja penyelenggaraan sistem penyaman udara di HELP University di Bukit Damansara pagi tadi, yang mengorbankan seorang individu dan mencederakan sembilan yang lain, termasuk empat pelajar.
Susulan kejadian itu, KPT mengarahkan pihak universiti melaksanakan pemeriksaan keselamatan segera dan menyeluruh ke atas semua kemudahan kampus dan memastikan kawasan terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan serta menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat.
KPT dalam kenyataan hari ini menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua institusi pendidikan tinggi sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala dan kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut dan sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“KPT akan terus memantau perkembangan insiden itu dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin,” menurut KPT.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja syarikat kontraktor disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala sembilan lagi mangsa dilaporkan cedera.
Beliau berkata letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti swasta berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial