DUNIA

Jangkaan Pertumbuhan Output Lemah Pacu Niaga Hadapan MSM Ditutup Meningkat

12/01/2026 10:02 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi dan Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Isnin, didorong oleh jangkaan pertumbuhan output yang lebih suram dalam minggu-minggu akan datang.

Peniaga berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata jangkaan pertumbuhan pengeluaran lebih rendah itu juga menjadi faktor pemacu kenaikan harga komoditi itu.

“Unjuran kekurangan output atau pengeluaran di wilayah utama telah mendorong peningkatan minat belian, sekali gus memberi momentum terhadap niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM).

“Aliran pasaran juga cenderung memberi reaksi lebih ketara terhadap jangkaan kekurangan itu berbanding paras stok simpanan semasa,” katanya kepada Bernama.

Ng berkata walaupun Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) baru-baru ini melaporkan mengenai paras simpanan lebih tinggi, penggiat pasaran sebaliknya menjangkakan pengeluaran akan menjadi perlahan berikutan perubahan bermusim dan gangguan cuaca.

“Kalangan peniaga kekal optimis berikutan jangkaan bekalan yang terhad. Pemerhati industri pula menyatakan walaupun data inventori lebih tinggi, sentimen keseluruhannya kekal meningkat berikutan permintaan minyak sawit di pasaran global yang terus kukuh,” katanya.

Dari sudut teknikal, Ng berkata paras sokongan dilihat sekitar RM4,000 satu tan manakala paras rintangan diunjur pada RM4,180 dan keupayaan melepasi paras itu akan melonjakkan pergerakan harga pada masa depan.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Januari 2026 naik RM30 kepada RM3,980 satu tan, Februari 2026 menokok RM49 kepada RM4,060 satu tan dan Mac 2026 menambah RM54 kepada RM4,090 satu tan.

Kontrak April 2026 melonjak RM54 kepada RM4,103 satu tan, Mei 2026 meningkat RM54 kepada RM4,107 satu tan dan Jun 2026 meraih RM54 kepada RM4,098 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 90,086 lot berbanding 110,659 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 258,843 kontrak daripada 255,449 kontrak, sebelum ini.

Harga fizikal minyak sawit mentah (MSM) bagi Januari Selatan naik RM40 kepada RM4,050 satu tan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan