EKONOMI

5E Resources Dapat Kelulusan Bursa Untuk Disenaraikan Di Pasaran ACE

13/01/2026 07:25 PM

JOHOR BAHRU, 13 Jan (Bernama) -- 5E Resources Holdings Bhd (5E Resources), penyedia perkhidmatan pengurusan sisa mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE.

Syarikat itu menyasarkan untuk melengkapkan penyenaraiannya pada suku kedua 2026 sebagai satu pencapaian penting yang akan mengukuhkan asas modalnya dan menyokong fasa pengembangan seterusnya dalam perniagaan.

Melalui anak syarikatnya, 5E Resources menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa berjadual termasuk ujian, pengumpulan, pemulihan dan kitar semula sisa berjadual, selain membekalkan produk yang dipulihkan dan dikitar semula serta menjalankan perdagangan bahan kimia dan produk berkaitan yang lain.

Kumpulan itu memiliki lesen untuk mengurus 34 daripada 77 kategori sisa berjadual yang dikawal selia dan mengendalikan beberapa kemudahan berlesen di Johor, dengan rancangan untuk berkembang ke Perak, disokong oleh makmal dalaman yang bertauliah dan berkeupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Dalam satu kenyataan hari ini, 5E Resources berkata cadangan tawaran awam permulaannya (IPO) terdiri daripada terbitan awam sebanyak 304.5 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 154 juta saham sedia ada, yang secara keseluruhan mewakili 29.8 peratus daripada jumlah saham kumpulan yang diperbesarkan kepada 1.54 bilion saham selepas penyenaraian.

“Terbitan awam sebanyak 304.5 juta saham akan diagihkan seperti berikut, iaitu 77 juta saham untuk permohonan oleh orang awam Malaysia; 35 juta saham untuk permohonan dalam kalangan pengarah, pekerja yang layak dan individu lain yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

“Sebanyak 192.5 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” tambahnya.

IPO itu juga merangkumi tawaran jualan sebanyak 154 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

TA Securities Holdings Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO berkenaan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif 5E Resources Lim Te Hua berkata kelulusan Bursa Malaysia merupakan satu pencapaian penting untuk kumpulan itu dan mencerminkan rekod operasi yang kukuh, pematuhan terhadap peraturan dan komitmennya terhadap pengurusan sisa yang mampan.

Beliau berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengembangkan keupayaan operasi, memperkukuh teknologi pemulihan dan kitar semula, serta menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi kitaran.

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Ku Mun Fong berkata IPO berkenaan akan menyediakan 5E Resources fleksibiliti kewangan untuk mengembangkan kemudahan mereka dan seterusnya meningkatkan lagi penawaran perkhidmatannya.

Beliau berkata asas operasi yang kukuh dan strategi pertumbuhan yang jelas menjadikan 5E Resources berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang dalam sektor pengurusan sisa berjadual di Malaysia.

Hasil daripada IPO itu bertujuan untuk sebahagiannya membiayai pembinaan dan pembelian mesin serta peralatan bagi kemudahan pengurusan sisa berjadual baharu di Perak dan menyokong keperluan modal kerja selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan