EKONOMI

Projek Solar Terapung Empangan Chereh Berpotensi Bantu Malaysia Eksport Kepakaran TBB

14/01/2026 04:14 PM

Daripada Naveen Prabu A/L Kuppusamy

ABU DHABI, 14 Jan (Bernama) -- Projek solar terapung Empangan Chereh di Pahang berpotensi membantu Malaysia membangunkan kepakaran dalam tenaga boleh baharu (TBB) yang boleh dieksport ke pasaran lain, kata Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Bhd Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata projek itu, yang dibangunkan bersama Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar), sebuah syarikat tenaga boleh baharu milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu, akan membolehkan Citaglobal memanfaatkan pengalaman Masdar dalam teknologi, pembiayaan projek dan pengurusan projek berskala besar.

“Dalam jangka masa panjang, kami berharap kepakaran yang dibangunkan di Malaysia juga boleh dieksport ke pasaran lain,” katanya kepada Bernama di luar acara Minggu Kelestarian Abu Dhabi 2026.

Mohamad Norza berkata projek itu penting dan strategik ketika Malaysia berusaha meletakkan dirinya sebagai hab tenaga boleh baharu untuk ASEAN, dengan Citaglobal menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Pengalaman Masdar, termasuk projek solar terapung yang telah siap di Indonesia, memberikan kesinambungan dan keyakinan untuk pelaksanaan projek ini di Malaysia.

“Solar terapung menggunakan teknologi yang khusus dan penyertaan dalam kerjasama ini memberikan pendedahan serta peluang pembelajaran yang bernilai kepada pasukan kami,” katanya.

Beliau berkata projek itu turut melibatkan komitmen kewangan yang besar disebabkan saiznya.

“Perjanjian pembelian tenaga jangka panjang yang dimeterai dengan Tenaga Nasional Bhd memberikan kepastian hasil dan mengukuhkan asas ekonomi untuk projek ini,” katanya.

Projek fotovoltaik solar terapung berkapasiti 200 megawatt di Empangan Chereh merupakan projek tenaga boleh baharu pertama Masdar di Malaysia dan dijangka menjadi kemudahan solar terapung yang terbesar di Asia Tenggara sebaik sahaja beroperasi.

Projek ini dibangunkan oleh sebuah konsortium yang diketuai oleh Masdar bersama Citaglobal dan Tiza Global Sdn Bhd, di bawah perjanjian pembelian tenaga dengan Tenaga Nasional.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Masdar (Asia-Pasifik) Fatima Al Suwaidi berkata Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan yang strategik ketika syarikat itu mengembangkan portfolio tenaga boleh baharunya di Asia Tenggara.

“Memandangkan kami sedang berusaha mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 100 gigawatt menjelang 2030, kami telah mengenal pasti beberapa pasaran pertumbuhan yang kukuh termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina,” katanya.

Beliau menambah dasar keterbukaan Malaysia terhadap pelaburan asing, bersama dengan peraturan baharu yang menyokong penggunaan tenaga boleh baharu dan kestabilan grid, merupakan pertimbangan utama untuk pelaburan jangka panjang.

Fatima berkata solar terapung amat menarik bagi negara yang kekurangan tanah termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

“Ketersediaan tanah selalunya terhad dan jika terdapat tanah, ia biasanya diutamakan untuk pertanian. Menggunakan kawasan perairan sedia ada seperti empangan membolehkan penggunaannya secara dua hala dan ia lebih bertanggungjawab dari segi penjagaan alam sekitar.

“Solar terapung juga boleh meningkatkan kecekapan penjanaan kerana kedekatannya dengan air menghasilkan kesan penyejukan yang meningkatkan prestasi panel solar,” katanya.

Beliau berkata walaupun Malaysia mempunyai projek solar hibrid terapung dan solar di tanah, kemudahan di Empangan Chereh akan menjadi projek solar terapung sepenuhnya yang pertama di negara ini.

“Projek ini akan menunjukkan kemampuan Malaysia untuk melaksanakan projek tenaga boleh baharu berskala besar menggunakan teknologi inovatif seperti solar terapung,” katanya.

Fatima menambah projek Empangan Chereh menandakan permulaan kehadiran Masdar secara jangka panjang di Malaysia, dengan rancangannya untuk memperkukuh kerjasama dan mengembangkan jejak tenaga boleh baharu syarikat itu.

Beliau berkata Masdar juga merancang untuk membuka pejabat di Kuala Lumpur pada separuh kedua tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan