EKONOMI

Ninja Van Malaysia Unjur Pertumbuhan 5–10 Peratus Jumlah Bungkusan Domestik Pada 2026

14/01/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Ninja Van Malaysia mengunjurkan pertumbuhan lima hingga 10 peratus dalam jumlah bungkusan domestik pada 2026 berbanding 2025, disokong oleh peningkatan berterusan dalam pembelian secara dalam talian. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lin Zheng berkata harga penghantaran juga terus kekal rendah, menjadikan membeli belah dalam talian lebih menarik bagi pengguna dan memacu jumlah bungkusan yang lebih tinggi. 

“Saya berpendapat ramai pengguna sudah biasa membeli secara dalam talian, jadi kami melihatnya sebagai pertumbuhan organik dalam sektor ini, dan harga penghantaran terus rendah ketika ini.

“Dengan keadaan pasaran sekarang,  kami sepatutnya mampu mencatatkan pertumbuhan lima hingga 10 peratus daripada jumlah tahun ke tahun,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama media sempena Tahun Baharu Cina dan Tinjauan Logistik Ninja Van Malaysia 2026 hari ini. 

Beliau berkata sektor logistik dan pengangkutan Malaysia, yang kini bernilai kira-kira RM117.4 bilion, dan terus berkembang serta diunjur mencecah RM153.78 bilion pada 2030, didorong oleh landskap e-dagang yang matang, kebangkitan penghantar bersaiz sederhana, dan perniagaan yang berkembang melangkaui pasaran kepada saluran milik sendiri. 

Bagi syarikat itu, pada tahun lepas, Ninja Van Malaysia telah mengukuhkan asas terasnya di peringkat akhir sambil mengembangkan keupayaan logistik baharu untuk memenuhi keperluan pasaran moden, termasuk memperluaskan Ninja Cold dan laluan rentas sempadan. 

Pada masa sama, Ninja Van meningkatkan tumpuannya pada logistik perniagaan ke perniagaan (B2B), mengatasi jurang dalam landskap manual dan berpecah secara tradisional serta bertindak balas terhadap peningkatan permintaan bagi penyelesaian bersepadu hujung ke hujung.

Kesemua usaha ini diterjemahkan kepada pertumbuhan ketara merentasi segmen utama pada 2025, apabila penghantaran telah mencecah lebih 20 juta penerima bungkusan di seluruh negara.

Sementara itu, Ninja Cold yang dilancarkan pada Februari 2025 telah menerima lebih 1,000 perniagaan dan kini mengendalikan kira-kira 100,000 bungkusan sejuk sebulan, dengan penghantaran 100 peratus ke seluruh Semenanjung Malaysia. 

Pada masa sama, Ninja B2B Restock pula menggandakan pertumbuhan tahun ke tahun, menyokong kitaran pengisian semula yang lebih pantas dan boleh dipercayai bagi lebih 250 perniagaan, manakala perkhidmatan Kurang daripada Muatan Trak (LTL) menghantar sehingga 3,000 palet, sebahagian besarnya melibatkan penghantar B2B. 

Mengenai perancangan tahun ini, beliau berkata Ninja Van Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha penskalaan keupayaan yang telah disahkan oleh pasaran, memperdalamkan liputan geografi dan perkhidmatan, serta membina penyelesaian logisitik yang berkembang seiring dengan keperluan perniagaan. 

Selain itu, penghantaran peringkat akhir akan terus menjadi peneraju operasi syarikat, disokong oleh pelaburan berterusan dalam kepadatan rangkaian dan pengoptimuman laluan bagi membolehkan rantaian bekalan yang lebih bersepadu. 

Beliau berkata Ninja Cold akan mengembangkan keupayaan e-dagang sejuk perniagaan ke pengguna (B2C), menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi penghantaran bagi produk segar, beku dan sedia untuk dimakan yang boleh dipercayai, memandangkan penghantaran sejuk menjadi semakin popular. 

“Bagi Ninja Cold, kami melihatnya potensi yang sangat baik terutamanya dalam bidang daging sedia untuk dimakan, daging diperap dan saya berfikir ia adalah salah satu sektor yang paling pesat berkembang bagi kami dalam perdagangan sejuk dari segi perniagaan kepada pengguna,” tambahnya. 

Beliau berkata bagi penghantar saiz sederhana, Ninja Van merancang untuk mengembangkan perkhidmatan B2Bnya dengan memperkenalkan laluan antara bandar secara terus LTL dan tawaran trak penuh (FTL) pada separuh kedua 2026, memodenkan pergerakan barang dalam segmen yang secara tradisinya didominasi oleh model pengangkutan tegar.

Tambahnya, pada masa sama, perkhidmatan B2B Restocknya akan diperluaskan lagi ke sektor perindustrian dan pembuatan, mengukuhkan kelajuan penambahan stok sebagai kelebihan daya saing yang semakin meningkat untuk perniagaan. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan