AM

SSR Ternakan Ruminan Negara Kini Sekitar 20 Peratus - Mohamad Sabu

15/01/2026 01:41 PM

KINABATANGAN, 15 Jan (Bernama) -- Kerajaan komited meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) ternakan ruminan negara yang kini sekitar 20 peratus, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan tahap sara diri ternakan ruminan negara meningkat kepada 50 peratus menjelang 2030, melibatkan pengeluaran antaranya kerbau, lembu dan kambing selaras dengan agenda memperkukuh keterjaminan makanan nasional.

Mohamad berkata sasaran itu merupakan aspirasi besar kementeriannya namun yakin ia boleh dicapai bergantung kepada pelaksanaan program dan usaha berterusan semua pihak dalam sektor agromakanan.

“Kita sekarang ini baru di sekitar 20 peratus... jauh untuk capai... tapi kita yakin (dengan) ada(nya) program-program yang dibentangkan… kita akan capai 50 peratus (pada) 2030 nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan AGRO MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai program keterjaminan makanan sedang dan akan dilaksana bagi meningkatkan pengeluaran domestik termasuk penglibatan aktif komuniti peladang di peringkat akar umbi.

Mohamad turut memuji inisiatif Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Kinabatangan yang mencadangkan pelaksanaan Projek Ternakan Ayam Pedaging Sistem Tertutup di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia ke-13 Tahun 2026 sebagai contoh terjemahan dasar nasional ke peringkat tempatan.

Projek bernilai RM2.4 juta yang telah diluluskan itu dijangka menjana 30,000 ekor ayam bagi setiap pusingan serta mampu beroperasi sehingga empat pusingan setahun sekali gus menyumbang kepada sasaran SSR negara dan menjana pendapatan tahunan yang mampan kepada PPK.

Beliau berkata projek yang dirancang di Bukit Garam itu juga menepati ciri pemodenan sektor pertanian menerusi penggunaan sistem reban tertutup, teknologi perladangan pintar dan Internet Benda bagi pemantauan operasi secara digital selain dilengkapi infrastruktur asas seperti jalan ladang, bekalan air serta elektrik yang stabil.

Pada masa sama, Mohamad berkata kementeriannya berhasrat memperluas model projek berimpak tinggi seperti itu ke kawasan lain kerana berdaya maju dengan kadar pulangan pelaburan yang tinggi serta potensi meningkatkan taraf hidup ahli melalui dividen dan peluang pekerjaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan