KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Jenazah Ketua Radio Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azlan Idris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih di sini pada 12.15 tengah hari ini.
Allahyarham yang berusia 57 tahun meninggal dunia di kediamannya pada 12.35 tengah malam tadi selepas mengadu sesak nafas.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, kira-kira 9 pagi untuk dimandikan dan disolatkan, dengan kehadiran ahli keluarga serta sahabat handai, termasuk rakan media.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang ceria, mudah memberi respons serta sering mengemukakan cadangan bernas kepada pengurusan Bernama.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu berita yang amat mengejutkan. Semalam, saya mempengerusikan mesyuarat pengurusan tertinggi Bernama dan Allahyarham turut hadir serta terlibat dalam perbincangan pelbagai perkara.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Wan Syahrina Wan Abdul Rahman, dan keluarga, serta seluruh warga Bernama Radio,” katanya ketika ditemui pada upacara pengebumian itu.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamad, serta Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi Hanim Muhili.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Zarif Aiman, 31, berkata ayahnya akan dikenang sebagai seorang yang tegas, berdisiplin dan berprinsip tinggi, namun dalam ketegasan itu terserlah sifat penyayang serta keikhlasan membantu orang lain.
“Ayah sentiasa menegur secara berterus terang, khususnya dalam soal disiplin, pertuturan dan penampilan diri, selain amat mementingkan kekemasan serta ketepatan.
“Daripada cara bercakap, berpakaian hingga cara bekerja, semuanya perlu kemas dan teratur. Beliau tiada ganti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial