EKONOMI

Sektor Pembinaan Malaysia Dijangka Catat Aliran Pekerjaan Kukuh Pada 2026 - HLIB

16/01/2026 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Sektor pembinaan dijangka mencatatkan aliran pekerjaan yang tinggi pada 2026, disokong oleh aliran kontrak positif yang menumpukan projek infrastruktur serta pusat data yang berterusan, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Menerusi nota penyelidikan hari ini, HLIB menjangkakan aliran pekerjaan keseluruhan berada pada kadar yang sama seperti 2024 hingga 2025, masih mencukupi untuk meningkatkan nilai perolehan kontrak sektor itu.

“Pada pandangan kami, pusat data hiperskala kekal sebagai pemangkin utama, dengan 2026 berpotensi menyaksikan kampus yang lebih besar mula dibangunkan -- secara keseluruhan, kontraktor masih boleh meningkatkan nilai perolehan kontrak masing-masing daripada segmen pusat data serta projek infrastruktur.

“Selain pusat data, kami mendapati segmen air sebagai satu lagi pemacu nilai perolehan kontrak pada 2026, dengan beberapa skim berskala besar berada di pelbagai peringkat pelaksanaan,” tambah bank pelaburan itu di samping mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor tersebut.

Selain itu, HLIB yakin projek LRT Pulau Pinang akan diteruskan untuk menjana lebih banyak aliran pekerjaan melalui subkontrak manakala segmen dua dan kerja-kerja sistem berpotensi menjana nilai sekitar RM8 bilion.

“Secara berasingan, tempoh 2026 dijangka menyaksikan pembinaan berterusan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan disokong dana pembangunan infrastruktur RM3.4 bilion di bawah Belanjawan 2026. Kami juga menjangkakan kemajuan seterusnya bagi cadangan sistem  Transit Laju Autonomi Bertingkat (EART).

“Akhir sekali, MRT3 dijangka tidak menjadi pemacu utama pemberian kontrak pada 2026 kerana usaha pengambilan tanah mungkin mengambil sebahagian besar tempoh pada tahun ini, justeru, pengaktifan semula tender dan pemberian kontrak lebih berkemungkinan ditangguhkan kepada selepas 2026,” menurut HLIB.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan