DUNIA

Cuaca Buruk Di Afrika Selatan Paksa Penutupan Taman Negara Kruger

16/01/2026 03:41 PM

JOHANNESBURG, 16 Jan (Bernama-dpa) -- Beberapa bahagian di Afrika Selatan terjejas akibat banjir dan kemusnahan berikutan hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di Afrika Selatan, pihak berkuasa di wilayah Limpopo telah mengisytiharkan darurat bencana.

Jurucakap pertahanan awam berkata setakat ini terdapat 19 kematian dicatatkan di Afrika Selatan dengan beberapa bandar terputus hubungan dengan dunia luar.

Taman Negara Kruger yang terkenal di Afrika Selatan telah ditutup sementara kepada pengunjung harian sejak Khamis.

Seorang jurucakap pihak berkuasa taman negara SANParks berkata penutupan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga dengan pakar meteorologi menjangkakan hujan lebat akan berterusan sehingga hujung minggu.

Satu daripada kem di taman itu telah dipindahkan berikutan banjir di Sungai Letaba.

Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan helikopter turut digunakan dalam operasi pemindahan apabila beberapa jalan raya dinaiki air.

Sementara itu di negara jiran Zimbabwe, kira-kira 70 orang maut dalam kejadian banjir sejak awal tahun ini dan lebih seribu keluarga kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan