SUKAN

Dana Antarabangsa Belia 2026 Diteruskan - KBS

16/01/2026 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneruskan pelaksanaan Dana Antarabangsa Belia KBS (IYF@KBS) 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam usaha pengantarabangsaan belia berumur antara 18 hingga 30 tahun.

KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu diwujudkan bagi menyokong penyertaan belia dalam platform global seperti mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa yang berkaitan dengan pembangunan golongan ini. 

“Penyertaan belia bukan sahaja memberikan pendedahan kepada amalan terbaik dunia, malah membuka ruang kepada belia untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan isu-isu global, membina jaringan strategik serta memperkukuh kefahaman antara budaya.

“Selari dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia Madani, usaha ini mendayaupayakan belia Malaysia untuk bersama-sama belia daripada pelbagai negara untuk menjadi sebahagian daripada suara yang mencorakkan penggubalan dasar, program dan inisiatif pada peringkat global dan serantau,” menurut kenyataan itu. 

Dana IYF ditawarkan secara sekali beri kepada belia warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun, keutamaan kepada mereka yang aktif dalam persatuan, pertubuhan atau kelab berdaftar, melibatkan bantuan hingga RM20,000 bagi setiap permohonan yang diluluskan.

Pemberian itu meliputi kos yuran penyertaan program, tiket penerbangan kelas ekonomi, elaun makan, insurans, visa dan penginapan tertakluk kepada kadar yang ditetapkan.

Permohonan dibuka dalam empat siri bermula hari ini bagi program mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa yang berlangsung antara 1 Mac hingga 15 November 2026.

Semua permohonan lengkap perlu dikemukakan secara dalam talian melalui portal rasmi KBS  www.kbs.gov.my/iyf.

Langkah itu diharap memperkukuh lagi ekosistem pembangunan belia negara, melahirkan pemimpin muda berwibawa, dan menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang progresif, inklusif serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan