AM

Peruntukan RM76.29 Juta BAP Kepada 508,631 Murid Di Sabah

16/01/2026 04:25 PM

KOTA KINABALU, 16 Jan (Bernama) -- Sebanyak RM76.29 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperuntukkan kepada Sabah tahun ini, melibatkan 508,631 murid di 1,298 sekolah di seluruh negeri.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata bantuan itu mencerminkan keutamaan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor pendidikan sebagai asas pembentukan generasi masa depan.

“BAP amat bermakna dalam membantu meringankan beban ibu bapa dalam perbelanjaan persekolahan, khususnya pada awal tahun. Ia juga menjadi pembakar semangat kepada murid untuk terus fokus dan cemerlang dalam pembelajaran,” katanya. 

James berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Jabatan Pendidikan Sabah Tahun 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata BAP yang diperkenalkan pada 2012 dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 bagi setiap murid bermula 2023 dan diberikan secara sekali bayar kepada semua tanpa mengira pendapatan. 

“Bagi 2026, kerajaan meneruskan inisiatif ini buat tahun ke-14 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM794.25 juta di peringkat nasional yang mula diagihkan bermula 8 Jan,” katanya.

James turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atas komitmen serta inisiatif melaksanakan pengagihan bantuan itu secara teratur dan berkesan.

“Saya menyeru ibu bapa dan murid agar memanfaatkan bantuan ini sebaiknya. Kejayaan anak-anak di peringkat sekolah akan membuka laluan kepada pendidikan tinggi dan seterusnya melahirkan modal insan berkualiti untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau juga berkata tiada potongan atau kutipan bayaran dibenarkan daripada wang bantuan itu yang perlu dipatuhi sepenuhnya oleh pengetua dan guru besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan