AM

SARA Kategori Bujang Relevan, Sokong Kesejahteraan Rakyat - KDN

16/01/2026 07:44 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi kategori bujang yang disalurkan kepada 3.1 juta penerima bermula hari ini adalah relevan dan memberi manfaat langsung kepada kumpulan rakyat yang besar serta signifikan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan sebahagian besar rakyat dewasa Malaysia berada dalam kategori bujang.

“Bantuan ini disalurkan bagi membantu golongan bujang, khususnya anak muda yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, sama ada mereka sedang memulakan kerjaya, bekerja sendiri atau berpendapatan rendah,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan inisiatif itu membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mendengar denyut nadi rakyat dan bertindak secara inklusif serta berperikemanusiaan.

"KDN menasihatkan para penerima agar menguruskan bantuan yang diterima dengan berhemat, mengutamakan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan keperluan harian serta mengelakkan pembaziran. 

"Bantuan ini diharap dapat menjadi sokongan sementara yang memberi ruang kepada rakyat untuk terus berusaha, berdikari dan membina masa depan yang lebih stabil," menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan akan terus menyokong pelaksanaan dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI yang berteraskan ihsan, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, di samping memastikan penyampaian bantuan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berpaksikan rakyat. 

"Kerajaan MADANI percaya bahawa kesejahteraan rakyat adalah asas kepada kestabilan dan keselamatan negara dan komitmen itu akan terus diperkukuh demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu. 

Kementerian Kewangan dalam hantaran di media sosial memaklumkan SARA bulanan untuk kategori bujang dikreditkan kepada 3.1 juta penerima bermula hari ini yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai terpilih di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan