PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memperkukuh keupayaan teknologinya selepas Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama mengiktiraf pegawai agensi itu sebagai profesional bertauliah dalam bidang teknologi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata inisiatif itu akan memberi nilai tambah kepada usaha memperkukuh agenda integriti negara melalui pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan, dengan sokongan strategik MTOB menerusi pembangunan bakat dan kepakaran teknologi.
Beliau berkata SPRM kini memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus dan integriti yang disokong oleh teknologi moden, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan forensik digital bagi meningkatkan keberkesanan siasatan serta pendakwaan.
"SPRM sentiasa menyokong usaha pengiktirafan pegawai SPRM sebagai profesional bertauliah dalam pelbagai bidang teknologi, selaras dengan keperluan semasa agensi penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azam berkata inisiatif itu dapat meningkatkan kompetensi, profesionalisme dan pembangunan kerjaya pegawai, selain menggalakkan pematuhan kepada standard profesional serta pembangunan berterusan.
Beliau berkata kerjasama itu juga membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan, akreditasi dan pembangunan kemahiran teknikal, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (ICT), keselamatan siber, forensik digital dan teknologi berkaitan, sejajar dengan cabaran jenayah dan rasuah moden.
Terdahulu Azam menerima kunjungan hormat daripada MBOT diketuai oleh Presidennya Prof Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial