SUKAN

Munoz Puji Mentaliti JDT Selepas Bergaya Ratah PDRM FC 10-1

18/01/2026 10:13 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Jan (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz memuji persembahan keseluruhan anak buahnya yang berpesta gol membelasah PDRM FC 10-1 dalam saingan Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini, dengan Teto Martin meledak hatrik berganda.

Pengendali dari Sepanyol itu memuji intensiti dan fokus pasukannya sepanjang perlawanan pertama pusingan 16 itu, meskipun tanpa kehadiran beberapa tonggak termasuk pemain lincah Arif Aiman Mohd Hanapi, Joao Figueiredo dan Hector Hevel.

“Kami bermula dengan sangat baik dan itu sesuatu yang positif. Separuh daripada pemain kami menunjukkan mentaliti dan karakter yang hebat kerana mereka bermain dari awal hingga akhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Persembahan Martin atau nama sebenarnya Alberto Martin Diaz dalam perlawanan hari ini menurut Munoz, adalah satu pencapaian bersejarah buat pemain sayap itu dan juga kelab.

“Saya rasa ini adalah kali pertama dalam sejarah kelab dia beraksi sebagai penyerang. Ia satu perkara yang sangat positif apabila kita bekerja bersama barisan kejurulatihan dan pasukan, semua pihak akan mencapai kejayaan. Itu adalah perkara paling penting bagi saya.

“Dalam semusim, pemain akan melalui turun naik prestasi, ada kalanya mereka beraksi lebih banyak minit, ada kalanya kurang. Yang penting, setiap kali diberi peluang, mereka memberikan yang terbaik,” katanya.

Munoz turut menekankan kepentingan mengekalkan disiplin pertahanan serta mempunyai sebuah skuad yang dibarisi ramai pemain berkualiti dan cita-cita pasukan.

“Saya tidak kecewa walaupun kami dibolosi. Apa yang penting ialah memberi tumpuan kepada situasi seperti ini, mengambil pengajaran daripadanya dan terus memperbaiki prestasi. Walaupun tanpa kehadiran Arif, Joao dan Hector, skuad kami kekal mantap. Kami perlu meneruskan dengan cita-cita yang sama dan memberikan yang terbaik setiap perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PDRM FC Eddy Gapil mengakui cabaran yang dihadapi pasukannya dalam kekalahan besar tersebut.

“Saya boleh merumuskan bahawa terdapat dua prestasi berbeza. Pada separuh masa pertama, kami dihukum dengan dua gol awal, tetapi kami masih berjaya menyaingi serangan JDT dan mencipta beberapa peluang yang menyaksikan kami menguasai bola serta melancarkan serangan balas.

“Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, dibolosi dua gol awal telah mengubah momentum permainan. Pemain kami hilang fokus serta semangat, dan kebanyakan gol yang kami bolos adalah hasil kesilapan sendiri. Itu sebabnya kami dihukum dengan kekalahan besar hari ini,” katanya.

Beliau turut menekankan hasrat pasukannya untuk memberikan prestasi positif dalam perlawanan akan datang serta merancang pendekatan terbaik bagi perlawanan berikutnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan