JENAYAH & MAHKAMAH

Lori Terbabas Di Rompin: Seorang Lagi Warga Bangladesh Meninggal Dunia

18/01/2026 10:38 PM

KUANTAN, 18 Jan (Bernama) -- Seorang lagi buruh ladang kelapa sawit warga Bangladesh yang terlibat dalam kemalangan selepas lori dinaiki terbabas di Jalan Selancar-Redong dekat Kampung Perwira Jaya, Rompin semalam meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Mohamad Askar, 41, meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor pada 4.15 petang tadi, yang menjadikan jumlah kematian tiga orang.

"Mangsa yang merupakan penumpang di belakang lori berkenaan cedera parah di bahagian kepala dan dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut manakala dua lagi rakan senegaranya meninggal dunia di lokasi kejadian semalam," katanya dalam kenyataan malam ini. 

Sementara itu, beliau berkata rakan senegara mangsa yang memandu lori muatan barangan racun kelapa sawit itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Beliau berkata hasil saringan ujian air kencing ke atas pemandu lori berusia 45 tahun itu didapati negatif.

Semalam, media melaporkan dua warga Bangladesh, iaitu Md Kader, 34, dan Md Dalim, 30, maut di lokasi kejadian selepas lori dinaiki terlibat dalam kemalangan berkenaan. 

Nahas berkenaan dipercayai berlaku ketika pemandu lori yang membawa tiga penumpang terbabit cuba memotong sebuah kereta, namun hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan