AM

Unisza Lancar Program Akrab Bimbing Warga Kerja Hadapi Cabaran Emosi

19/01/2026 05:52 PM

KUALA NERUS, 19 Jan (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menubuhkan program Rakan Akrab (AKRAB) bagi memupuk kesejahteraan emosi dan psikologi warga kerjanya.

Pendaftar UniSZA Muzafar Mohd Din berkata inisiatif itu adalah sebahagian usaha universiti membina budaya kerja yang harmoni, inklusif dan lebih berdaya tahan dalam kalangan lebih 2,000 warga kerja, selaras aspirasi perkhidmatan awam masa kini.

“Bagi permulaan, seramai 30 individu telah ditauliahkan sebagai Rakan AKRAB, berperanan memberi bantuan dan bimbingan kepada kakitangan yang memerlukan sokongan emosi dan psikologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, AKRAB berfungsi sebagai medium perantaraan untuk menolong rakan sekerja di setiap pusat tanggungjawab, berteraskan asas kaunseling dan kemahiran membimbing".

"Program ini juga menggalakkan perkongsian pengetahuan, nilai murni, semangat kesukarelawanan serta empati dalam kalangan warga organisasi,” katanya.

Muzafar berkata perkhidmatan yang disediakan termasuk sesi bimbingan individu atau berkumpulan, pelaksanaan saringan psikologi serta penganjuran program kaunseling mengikut keperluan.

Beliau berharap AKRAB dapat mewujudkan sistem sokongan yang tersusun dan berkesan bagi memastikan kesejahteraan mental dan emosi warga universiti.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan