KINABATANGAN, 19 Jan (Bernama) -- Sebanyak 128 permit ceramah dan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag telah dikeluarkan setakat hari ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy berkata permit tersebut diberikan kepada Barisan Nasional (BN), Parti Warisan (Warisan) dan calon Bebas.
“Buat masa ini, tiada permohonan permit ditolak dan semua pihak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ravi berkata setakat ini, pihak polis hanya menerima satu aduan sepanjang tempoh berkempen, yang telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seramai 927 anggota polis daripada ibu pejabat polis daerah berhampiran termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran proses pengundian kedua-dua PRK itu pada Sabtu ini.
“Saya juga mengingatkan calon, ejen calon dan penyokong supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh kempen ini,” tambahnya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar, yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
SPR menetapkan esok sebagai hari pengundian awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial