Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjejaki Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih lemah susulan ketegangan antara AS dan Kesatuan Eropah (EU) memuncak susulan kenyataan baharu oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengenai Greenland.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0475/0575 daripada 4.0520/0570 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY turun 0.35 peratus kepada 99.050 mata, menunjukkan peralihan yang jelas kepada sentimen penghindaran risiko dengan emas muncul sebagai aset selamat untuk pedagang dan pelabur.
Beliau juga berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 2026 sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 3.3 peratus, disokong oleh pelaburan lebih kukuh dalam kecerdasan buatan (AI), keadaan monetari yang akomodatif dan rangsangan fiskal, dijangka membantu mengimbangi kelemahan, berpunca daripada gangguan kepada dasar perdagangan.
“Dalam perkembangan sama, jangkaan pertumbuhan KDNK Malaysia 2026 telah disemak semula sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 4.3 peratus. Oleh itu, kami menjangkakan ringgit akan kekal dalam diniagakan dalam jajaran kecil memandangkan mod penghindaran risiko terhadap penilaian positif oleh IMF terhadap keadaan ekonomi global,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia naik berbanding yen Jepun kepada 2.5591/5656 daripada 2.5657/5692 pada Isnin, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.4313/4448 daripada 5.4321/4388 tetapi turun berbanding euro kepada 4.7109/7225 daripada 4.7100/7159.
Dalam pada itu, ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Unit tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1491/1571 daripada 3.1521/1562, menambah berbanding baht Thailand kepada 12.9454/9886 daripada 12.9623/9845 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 238.7/239.4 daripada 239.0/239.3.
Bagaimanapun, ia berubah sedikit berbanding peso Filipina pada 6.81/6.83 daripada 6.81/6.82.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial