DUNIA

Pantai Di Australia Ditutup Selepas Tiga Serangan Jerung Dalam Dua Hari

20/01/2026 10:52 AM

SYDNEY, 20 Jan (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa tempatan pada Selasa menutup kawasan pesisir pantai sepanjang 30 kilometer di Sydney susulan serangan jerung ketiga dalam tempoh dua hari, lapor agensi berita Jerman dpa.

Majlis Northern Beaches dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kesemua 34 pantai di kawasan itu akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

"Kami menggesa perenang dan peluncur supaya mematuhi maklumat penutupan pantai dan menyemak maklumat status pantai," menurut majlis itu.

Penutupan itu dibuat selepas seorang lelaki digigit jerung pada petang Isnin, menurut polis New South Wales.

Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil ke Pantai North Steyne, di pinggir bandar Northern Beaches di Manly, susulan laporan seorang peluncur telah digigit jerung.

"Lelaki itu ditarik keluar dari air oleh orang awam yang memberikan pertolongan cemas sebelum ketibaan perkhidmatan kecemasan," kata polis.

Beliau dirawat kerana kecederaan parah di kaki oleh paramedik dan dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Terdahulu pada Isnin, papan luncur seorang kanak-kanak lelaki digigit jerung di kawasan berhampiran Dee Why, manakala pada Ahad, seorang budak lelaki berusia 13 tahun diserang ketika berenang berhampiran Shark Beach di timur Sydney. Polis berkata budak itu sedang mengharungi air cetek apabila dia diserang.

"Kecederaan tersebut adalah konsisten dengan apa yang dipercayai berpunca daripada jerung bersaiz besar," kata polis. Jenis jerung tersebut masih belum dikenal pasti.

Budak itu mengalami kecederaan parah pada kedua-dua kakinya dan dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Menurut data rasmi dari 2025, terdapat purata kira-kira 20 insiden jerung yang melibatkan kecederaan setiap tahun di Australia dalam tempoh 10 tahun yang lalu, dengan purata 2.8 kematian setiap tahun.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan