JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyalurkan peruntukan sebanyak RM116.22 juta bagi pembangunan bakat di Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu meliputi pembiayaan latihan dan kemahiran bagi memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja serta ekosistem pekerjaan di negeri itu.
Beliau berkata pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Timbalannya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan bagi membincangkan penyelarasan serta agenda pembangunan bakat telah diadakan pada 15 Jan lepas.
Menurutnya, peruntukan yang dibincangkan merangkumi RM61 juta pembiayaan pinjaman oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada lebih 2,300 pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Ini sejajar dengan usaha memperluas akses latihan kemahiran secara inklusif dan bersasar, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, kenderaan elektrik dan semikonduktor yang menyokong ekosistem Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata RM20 juta pula diperuntukkan untuk Dana Khas Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bagi menyokong pelaksanaan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), RM13.02 juta levi HRD Corp bagi latihan teknikal dan RM18.8 juta Skim Latihan Industri bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Sementara, RM1.4 juta disalurkan melalui Talent Corp bagi pelaksanaan Program MyMahir dan RM2 juta oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk penganjuran pameran kerjaya serta pengukuhan portal MyFutureJobs.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata pertemuan tersebut adalah selari dengan lonjakan pelaburan JS-SEZ serta penubuhan JTDC sebagai platform penyelarasan keperluan bakat negeri.
"Fokus utamanya adalah dengan memastikan Johor mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi, berkemahiran dan relevan,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan, akan terus membawa manfaat dari segi pelaburan, peluang pekerjaan yang stabil, pendapatan tinggi sekali gus memberi jaminan masa depan yang lebih terjamin kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial