EKONOMI

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran 4.0-4.20 Tahun Ini - Penganalisis

20/01/2026 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) --Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.0-4.20 berbanding dolar AS tahun ini, disokong oleh struktur akaun luaran Malaysia yang bertambah baik walaupun peningkatannya masih dikekang oleh aliran keluar portfolio global dan dolar yang lebih kukuh.

Ahli ekonomi Standard Chartered dan penganalisis FX bagi Asia, Jonathan Koh berkata tinjauan mata wang tempatan itu secara umumnya masih menggalakkan meskipun berdepan cabaran luaran.

“Ringgit menunjukkan prestasi yang sangat baik sejak dua tahun lalu, malah sebelum 2024. Ia sebenarnya merupakan salah satu mata wang yang menjadi pilihan utama kami di seluruh Asia,” katanya.

Koh berkata demikian semasa taklimat media mengenai Tinjauan Global & Malaysia Standard Chartered bagi separuh pertama 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata daya tahan ringgit disokong oleh prestasi akaun semasa yang semakin bertambah baik, terutamanya imbangan perkhidmatan yang mencatatkan lebihan buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun berdasarkan imbangan perjalanan bersih dan peningkatan perkhidmatan pembinaan.

"Imbangan perjalanan bersih semakin bertambah baik mengatasi paras sebelum COVID, manakala imbangan perkhidmatan pembinaan meningkat kepada kira-kira 0.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas negara mengurangkan pergantungannya pada perkhidmatan pembinaan yang diimport.

"Sokongan seterusnya datang daripada peningkatan dalam pendapatan primer, susulan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan penghantaran pulang pendapatan luar negara, yang membawa kepada peningkatan pendapatan primer sebanyak kira-kira 0.5 peratus daripada KDNK berbanding sebelum COVID," katanya.

Bagaimanapun, Koh memberi amaran bahawa aliran kewangan terus mengimbangi kenaikan ini, dengan aliran keluar portfolio yang berterusan sebahagian besarnya didorong oleh prestasi ekuiti global.

"Anda masih melihat banyak aliran keluar dari segi portfolio... masih terdapat aliran keluar yang besar untuk membeli ekuiti Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Menurutnya, persekitaran kadar faedah Malaysia yang agak rendah dan potensi perubahan pada penilai indeks bon global juga boleh mengehadkan aliran masuk asing ke dalam pasaran hutang tempatan.

Mengulas mengenai ekonomi domestik, Koh berkata ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana kepada sekitar 4.5 peratus tahun ini, masih di paras tertinggi dalam julat unjuran kerajaan, disokong terutamanya oleh pelaburan swasta.

"Sentimen pelaburan, baik daripada pelabur asing mahupun pelabur domestik, terus kukuh," katanya, sambil menambah sebahagian besar momentum tertumpu pada pembinaan bukan kediaman dan pelaburan berkaitan pusat data.

Sementara itu, inflasi dijangka kekal rendah pada kira-kira 1.7 peratus, meskipun terdapat rasionalisasi subsidi dan perubahan cukai, menyokong keputusan BNM untuk mengekalkan dasar monetari tidak berubah tahun ini.

"Buat masa ini kami berpandangan BNM akan mengekalkan dasar tidak berubah," kata Koh.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan