SUKAN

APG 2025: Tiada Ruang Kesilapan Buat Bonnie Buru Emas Di Thailand

20/01/2026 04:42 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA, 20 Jan (Bernama) -- Juara dua pingat emas Paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin, akan beraksi dalam saingan powerlifting kategori 80 kilogram pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 dengan satu sasaran utama iaitu meraih pingat emas, dalam situasi yang tidak memberi ruang sebarang kesilapan.

Atlet berusia 26 tahun itu berkata kategori berkenaan hanya disertai beliau dan seorang atlet tuan rumah, sekali gus menjadikan setiap angkatan sebagai detik penentuan yang memerlukan ketenangan, fokus serta keyakinan penuh.

“Kategori saya sekarang dalam 80 kilogram hanya ada dua orang sahaja, saya dengan seorang lagi daripada Thailand. Jadi, kami akan bertanding untuk mendapatkan emas saja.

“Saya perlu membuat angkatan yang mampu menjamin pingat emas dan saya menyasarkan angkatan sekitar 200 kilogram,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol, yang hadir memberi semangat ketika melawat Terminal 21 Korat di sini hari ini.

Kembali menyertai APG selepas temasya 2017 di Malaysia, Bonnie mengakui kejohanan di Nakhon Ratchasima membawa makna tersendiri dalam perjalanan kariernya bersama skuad kebangsaan.

“Cabaran memang ada. Saya tidak ambil mudah kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam pertandingan. Pada fasa sekarang, saya dalam keadaan bersedia untuk beraksi,” katanya.

Semasa memenangi dua pingat emas Paralimpik, Bonnie bertanding dalam kategori 72kg dan ini merupakan kali pertama beliau mencuba nasib dalam kategori 80kg.

Bonnie juga akan turut disertai abangnya, Bryan Junency Gustin, dalam kategori 88kg, kedua-dua acara akan berlangsung pada Sabtu (24 Jan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan