AM

RPN: Penekanan Awal TVET Dan STEM Eratkan Jurang Kemahiran - TPM Ahmad Zahid

20/01/2026 05:09 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) diarusperdanakan melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 selaras usaha kerajaan memperkukuh pembangunan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penekanan terhadap pendidikan TVET dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) diperkenalkan seawal Tingkatan Satu merupakan langkah yang dilihat dapat membina asas kemahiran teknikal pelajar lebih awal serta meningkatkan minat terhadap bidang berteraskan teknologi.

Beliau berkata perkembangan positif turut direkodkan apabila kadar kebolehpekerjaan lepasan TVET meningkat daripada 91.5 peratus kepada 99.5 peratus, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa pendekatan baharu itu berada pada landasan tepat untuk memenuhi permintaan pasaran buruh.

“Ini adalah satu lonjakan yang amat baik, ertinya TVET akan diarusperdanakan melalui RPN,” katanya ketika diminta memberikan reaksi mengenai RPN yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata RPN merupakan satu lonjakan untuk melakukan perubahan besar-besaran kepada sistem pendidikan negara kerana mengembalikan semula ujian dan penilaian.

“Kerajaan memperlihatkan komitmen apabila di peringkat sekolah rendah, ujian itu dimulakan di peringkat Darjah Empat. Manakala untuk sekolah menengah, kita berterima kasih kerana ujian itu dimulakan di Tingkatan Tiga,” katanya.

Bagi pendidikan tinggi, Ahmad Zahid berkata tumpuan utama diberikan bagi memastikan tidak berlaku ketidakselarasan (mismatching) antara bidang pengajian dengan alam pekerjaan yang bakal diceburi, selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa.

“Dari segi ini, kita lihat penarasan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan tumpuan kepada soal bahasa dan sejarah turut diberikan penekanan, termasuk penekanan bagi pengambilan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk sekolah agama dan tahfiz.

“Saya yakin sistem ini juga melibatkan sekolah-sekolah pondok,” katanya.

RPN 2026–2035 merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Pelan pendidikan baharu itu membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia adalah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan