KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan pelantikan empat jawatan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri sebagai Ketua Staf Markas ATM yang baharu.
MINDEF dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Jan telah memperkenan pelantikan pegawai-pegawai kanan berkenaan bagi mengisi beberapa jawatan utama ATM, selepas menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-632 yang bersidang pada 7 Jan lepas.
“Selain itu, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama manakala Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat yang baharu.
“Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin (TUDM) pula dilantik sebagai Ketua Eksekutif MiDAS dengan kesemua pelantikan itu berkuat kuasa pada 1 Jan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan MINDEF itu memaklumkan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.
“Kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara, tanpa kompromi.
“Barisan kepimpinan baharu ini diyakini mampu memikul harapan besar ini serta berkeupayaan memberikan khidmat dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial