DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

20/01/2026 11:05 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, selepas disokong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng memberitahu harga turut dirangsang oleh keuntungan dalam niaga hadapan olein sawit Dalian.

“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,000 satu tan, dengan rintangan pada RM4,180 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan Ng, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa juga berkata niaga hadapan MSM mencatatkan keuntungan sederhana, disokong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik di tengah-tengah kenaikan eksport Januari dan pengeluaran yang lebih rendah.

Pada penutupan, kontrak Februari 2026 naik RM34 kepada RM4,066 satu tan, Mac 2026 menambah RM29 kepada RM4,084 satu tan dan April 2026 menokok RM27 kepada RM4,094 satu tan.

Kontrak Mei 2026 melonjak RM23 kepada RM4,096 satu tan, Jun 2026 mengukuh sebanyak RM19 kepada RM4,090 satu tan dan Julai 2026 adalah RM16 lebih baik kepada RM4,084 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 61,658 lot berbanding 40,676 lot yang dicatatkan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 243,700 kontrak daripada 242,379 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan menyaksikan kenaikan sebanyak RM40 kepada RM4,100 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan