AM

Kenderaan Autonomi Pos Malaysia Tingkat Kecekapan, Produktiviti Operasi – Fahmi

21/01/2026 02:44 PM

SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Kenderaan Autonomi Pos Malaysia dijangka dapat meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengendalian bahan pos, khususnya dalam operasi dalaman fasiliti sebelum diperluaskan ke peringkat seterusnya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu merupakan langkah progresif ke arah memodenkan operasi perkhidmatan pos negara, selari dengan perkembangan pesat teknologi semasa.

“Projek ini adalah yang pertama seumpamanya dalam sektor perkhidmatan pos di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan penggunaan kenderaan autonomi secara lebih meluas pada masa hadapan.

“Kita mengakui perkhidmatan penghantaran surat kini berdepan cabaran besar kerana dianggap sebagai perkhidmatan legasi, namun peralihan kepada model perniagaan yang lebih mampan perlu dibantu bagi memastikan kelangsungannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kenderaan Autonomi Pos Malaysia dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan syarikat Autonomous Logistics Solutions (ALS), bagi pelaksanaan projek perintis atau proof of concept (POC) di fasiliti Pusat Mel Nasional.

Menjelaskan lanjut, Fahmi berkata inisiatif itu bukan melibatkan Pos Malaysia semata-mata, sebaliknya merangkumi kerjasama rentas kementerian dan agensi termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MIMOS, Digital Nasional Berhad serta rakan strategik lain.

Mengenai tempoh pelaksanaan POC, beliau berkata ujian kenderaan autonomi akan dijalankan di dalam fasiliti Pusat Mel Nasional selama tiga hingga enam bulan sementara menunggu kelulusan penuh daripada Kementerian Pengangkutan.

Menurutnya, penggunaan kenderaan autonomi pada peringkat awal akan tertumpu kepada laluan pertengahan, seperti dari pusat mel ke pejabat pos utama, dan bukan bagi penghantaran terus ke rumah.

Fahmi menambah kejayaan projek itu turut bergantung kepada kesediaan prasarana digital, termasuk liputan 5G yang stabil, sejajar dengan perancangan kerajaan membangunkan Dasar Infrastruktur Digital Negara bagi menyokong penggunaan teknologi masa hadapan secara selamat dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaan teknologi baharu ini tidak akan menyebabkan pembuangan pekerja, sebaliknya menegaskan pendirian tegas kerajaan agar kebajikan tenaga kerja terus dipelihara.

“Penggunaan teknologi mesti seiring dengan usaha mengekalkan pekerjaan, termasuk melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran supaya pekerja dapat melaksanakan tugasan yang lebih kompleks,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan semua sektor agar tidak menjadikan teknologi seperti kecerdasan buatan dan automasi sebagai alasan untuk melakukan pembuangan pekerja secara besar-besaran.

Menyentuh sokongan kerajaan, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah memperuntukkan dana RM50 juta bagi membantu Pos Malaysia melaksanakan tanggungjawab Universal Service Obligation (USO), khususnya dalam penghantaran surat ke seluruh negara.

Dana berkenaan, katanya, akan disalurkan sementara menunggu penubuhan Tabung Perkhidmatan Pos atau Postal Services Fund yang dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini di bawah seliaan kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan