AM

RTS Link: Kerja-kerja Keluli Utama Bumbung Stesen Bukit Chagar Siap

21/01/2026 09:45 PM

JOHOR BAHRU, 21 Jan (Bernama) -- Pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mencapai satu lagi detik penting berikutan siapnya pemasangan lengkuk keluli fakad atau bahagian hadapan Stesen Bukit Chagar di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata jalur dalaman itu membentuk bumbung stesen, sekali gus menyediakan perlindungan kekal di kawasan platform serta memberikan struktur dan identiti utama kepada stesen berkenaan.

Beliau berkata pencapaian penting ini membawa projek itu selangkah lebih dekat kepada kesediaan operasi, seiring dengan sasaran tarikh mula perkhidmatan pada 31 Dis 2026.

“Penyiapan jalur dalaman ini juga membolehkan kerja fakad (bahagian depan) memasuki fasa terakhir, dengan pemasangan lapisan luaran dan kaca sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kerja pemasangan tersebut telah dianugerahkan kepada Rohas Sediabena Builders Consortium Sdn Bhd, iaitu usaha sama antara Rohas-Euco Industries, anak syarikat milik penuh Rohas Tecnic Berhad dan Sediabena Builders Sdn Bhd pada Januari 2024.

"Apa yang menjadikan pencapaian ini amat bermakna ialah pembangunan reka bentuk akhir, pembuatan, pembinaan dan pemasangan fakad telah dijalankan sepenuhnya oleh kontraktor Malaysia," katanya.

Beliau berkata pembinaan RTS Link secara keseluruhannya terus mencatatkan kemajuan jauh lebih awal daripada jadual, disokong oleh penyelarasan yang kukuh merentasi kerja-kerja awam, seni bina, sistem dan stesen.

Beberapa pakej pembinaan dijalankan secara serentak, membolehkan akses lebih awal untuk kerja-kerja susulan dan pemasangan sistem.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rohas Tecnic Amirul Baharom berkata fakad merupakan struktur yang kompleks dan memerlukan perancangan rapi, pembuatan yang diselaraskan serta pelaksanaan yang teratur.

“Daripada fabrikasi berskala besar di luar tapak sehingga pemasangan di tapak, pencapaian ini membuktikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia mempunyai keupayaan, kapasiti dan sistem untuk melaksanakan infrastruktur utama mengikut standard antarabangsa,” katanya.

Diinspirasikan daripada imej dua tangan yang saling memegang pergelangan tangan, fakad itu melambangkan sokongan bersama dan tujuan yang dikongsi dalam projek ini. 

Struktur fakad bumbung itu mempunyai ukuran kira-kira 50 meter tinggi, 200 meter panjang dan 50 meter lebar, merangkumi 16 jalur keluli, sistem penahan hujan, jendela langit dan menara.

Lebih 40,000 meter persegi kapasiti pembuatan di fasiliti khusus di Bentong, Seremban dan Tapah telah digunakan untuk memenuhi keperluan kejuruteraan dan kualiti yang ketat.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan