POLITIK

MIC Masih Bersama BN, Dakwaan Keluar Hanya Spekulasi - Zambry

21/01/2026 10:39 PM

KOTA KINABALU, 21 Jan (Bernama) -- MIC masih merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi kononnya MIC akan meninggalkan BN, malah hubungan antara kepimpinan tertinggi parti komponen kekal utuh dan baik.

“Saya yakin MIC masih tetap bersama BN sehingga kini. Kita tidak ada isu yang berbangkit berkaitan masalah itu dan tidak dibincangkan pun (dalam mesyuarat).

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa, sebarang laporan yang mengatakan mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sertan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon.

Mengulas mengenai ketidakhadiran wakil MIC pada mesyuarat itu, Zambry berkata ia disebabkan faktor kekangan masa.

“BN sentiasa bersangka baik, kita bekerjasama dan mungkin ada spekulasi-spekulasi yang dibuat, itu kita anggap hanya sebagai satu spekulasi,” katanya.

Zambry berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN turut membuat keputusan menerima semula penyertaan Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam gabungan tersebut.

Beliau berkata mesyuarat itu juga memutuskan pelantikan Arthur sebagai Pengerusi BN Sabah yang baharu manakala Datuk Seri Jafry Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi BN Sabah dan Datuk Mohd Hasnol Ayub dilantik sebagai Setiausaha BN negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan