AM

Kerajaan MADANI Utamakan Sabah, Terima Peruntukan Luar Bandar Tertinggi – TPM Ahmad Zahid

22/01/2026 08:01 PM

KINABATANGAN, 22 Jan (Bernama) -- Peruntukan pembangunan luar bandar tertinggi kepada Sabah di bawah Belanjawan 2026 membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memberi keutamaan kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar, tanpa meminggirkan negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif bagi pembangunan desa termasuk pendidikan, latihan kemahiran, infrastruktur asas serta pemerkasaan sosioekonomi komuniti di kawasan pedalaman.

Beliau menegaskan tumpuan itu selari dengan tanggungjawab Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya, dalam memastikan pembangunan lebih seimbang, khususnya di kawasan yang sebelum ini menghadapi kekangan akses kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi.

“Saya akan berkoordinasi dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang, bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa@Kuamut di Dataran Tongod, yang turut dihadiri Jafry dan Masiung.

Di bawah Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 10 Okt tahun lalu, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa kemudahan pendidikan luar bandar, khususnya kelas di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan Kuamut dan Tongod, akan terus diberi perhatian bagi memastika prasarana sedia ada dipertingkatkan.

Selain itu, beliau berkata program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) turut menjadi antara fokus utama KKDW bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia di luar bandar untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan.

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah kementerian akan diselaraskan bersama kepimpinan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap peruntukan dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata KKDW akan menggunakan teknologi terkini dalam menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah termasuk di Kinabatangan.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan kesukaran yang dicapai oleh grid nasional, selain kos penyambungan yang tinggi susulan faktor geografi dan keluasan Sabah.

“Justeru, kita menggunakan mini-hydro dan beberapa pendekatan lain termasuk solar untuk memberi bekalan api di kawasan berkenaan. Begitu juga program Bekalan Air Luar Bandar untuk bekalan air.

“Untuk jalan raya pula, apabila Lebuhraya Pan Borneo disiapkan, (pembinaan) sambungan jalan ke pekan kecil dan kawasan luar bandar akan diteruskan, sebagai mana yang kita lakukan untuk Sarawak,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Rakyat anjuran Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Dataran Kinabatangan, di sini.

Ahmad Zahid berkata KKDW juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan projek pembangunan luar bandar di negeri itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh untuk manfaat semua rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan