KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- AmBank menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran kecil pada separuh pertama 2026, sebelum menghampiri paras 3.94 berbanding dolar AS pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif.
Ketua ahli ekonomi AmBank, Firdaos Rosli, berkata jangkaan penurunan seterusnya kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan isu-isu lain yang membayangi negara itu dijangka melemahkan dolar AS.
Beliau juga menjangkakan peningkatan beransur-ansur yuan akan mewujudkan ruang bagi mata wang negara Asia lain yang bergantung kepada perdagangan untuk terus mengukuh.
Firdaos berkata bank itu menjangkakan Fed AS akan menurunkan kadar sebanyak dua kali pada 2026, lebih daripada yang diunjurkan dalam Ringkasan Unjuran Ekonomi (SEP) Fed pada Disember, mencerminkan konsensus pasaran dan peningkatan risiko ekonomi termasuk pelantikan pengerusi Fed baharu.
Garis dasar SEP merupakan set unjuran ekonomi yang dikeluarkan setiap suku tahun oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed.
"Sasaran bagi ringgit itu nampaknya realistik. Jika pengerusi Fed bukan Jerome Powell, dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang, kemungkinan untuk Fed menurunkan lagi kadar adalah tinggi.
“Ini bermakna perbezaan kadar faedah akan memihak kepada ringgit berbanding dolar AS," katanya pada taklimat media mengenai tinjauan makroekonomi AmBank bagi 2026, di sini, hari ini.
Aliran dana asing kumulatif bersih ke dalam semua sekuriti pendapatan tetap dalam nilai ringgit berjumlah RM25.6 bilion pada 2025 berbanding RM4.8 bilion pada 2024, manakala aliran kumulatif bersih ke dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjumlah RM21.2 bilion daripada RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Firdaos berkata bon Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada pencarian alternatif aset selamat, dengan ringgit berkemungkinan mendapat sokongan sampingan.
AmBank juga berpandangan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar utamanya pada 2.75 peratus, sekiranya tiada perubahan ketara dalam keadaan ekonomi.
"Tiada sebab kukuh untuk menaikkan paras OPR kali ini. Paras tersebut akan menjadi penampan kepada apa sahaja yang mungkin berlaku, tetapi kita juga perlu ingat bahawa kadar 2.75 peratus merupakan tindakan pencegahan oleh BNM tahun lepas, kerana mereka pada mulanya menjangkakan tarif AS akan memberi impak kepada pertumbuhan negara pada 2025," katanya.
Sementara itu, AmBank menjangkakan inflasi keseluruhan Malaysia kekal rendah pada 1.8 peratus pada 2026, meningkat daripada anggaran 1.4 peratus pada 2025, terutamanya mencerminkan kesan asas rendah dan jangkaan pelepasan kos bahan api daripada pelarasan tarif air dan pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Bagaimanapun, bank itu berkata tekanan itu sebahagiannya akan diimbangi oleh penurunan harga komoditi global terutamanya minyak dan arang batu, yang sepatutnya menterjemah kepada harga bahan api dan elektrik lebih rendah, yang mana kedua-duanya menyumbang kira-kira 8.2 peratus daripada Indeks Harga Pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial