AM

Jejambat Bestari Perdana Dibuka Hari Ini, Tol Percuma Hingga Lepas Aidilfitri

22/01/2026 06:04 PM

JOHOR BAHRU, 22 Jan (Bernama) -- Pembukaan secara rasmi jejambat keluar masuk ke Bestari Perdana di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) hari ini, bakal memberikan kelegaan kepada orang ramai yang menunggu pengoperasiannya semenjak jalan alternatif itu siap dibina lima tahun lepas.

Projek infrastruktur bernilai RM70 juta yang dibina pemaju Meridin East Sdn Bhd (Mah Sing Holdings) itu, dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar Pasir Gudang, Masai, Kong Kong dan Tanjung Langsat, apabila mampu memendekkan masa perjalanan daripada 45 kepada hanya 15 minit.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laluan itu, menyediakan akses keluar dan masuk baharu yang menghubungkan Bandar Bestari Perdana serta Bandar Layangkasa dengan kawasan perindustrian Tanjung Langsat dan Pasir Gudang.

“Pembukaan jejambat ini, dijangka mampu menyuraikan kesesakan trafik yang telah lama berlaku di sepanjang Jalan Negeri J10, selain berfungsi sebagai laluan alternatif utama ke Pasir Gudang dan Tanjung Langsat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Tanjakan (Jejambat) Keluar Masuk ke Bestari Perdana dan Plaza Tol Bestari Perdana di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Dr Ahmad Maslan.

Serentak dengan pembukaan itu, Nanta turut mengumumkan pemberian tol percuma bagi pengguna yang melalui Plaza Tol Bestari Perdana bermula hari ini hingga selepas Aidilfitri.

Plaza tol baharu berkenaan dilengkapi dua lorong Sistem Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dan dua lorong Touch ’n Go (TnG), bagi memastikan transaksi tanpa tunai yang lancar dan menyediakan empat lorong trafik, iaitu dua lorong bagi setiap arah.

Nanta berkata berkata jejambat serta fasiliti lebuh raya berkenaan yang terletak di KM5.1 Pasir Gudang Connenctor (PGC) itu akan diambil alih oleh Lebuhraya SDE untuk diurus, dikendalikan dan disenggara seperti yang dipersetujui semua pihak.

Dalam perkembangan lain, Nanta memaklumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM117 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi jajaran tambahan sepanjang empat kilometer dari Cahaya Baharu ke Sungai Johor untuk melaksanakan kerja menaik taraf SDE.

Projek pelebaran laluan daripada dua kepada empat lorong di lebuh raya berkenaan melibatkan jajaran sepanjang 9.34 kilometer bermula dari Jambatan Sungai Johor hingga Sungai Semenchu, sebelum ini diumumkan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM128.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.

Sementara itu Onn Hafiz berkata pembukaan rasmi jejambat keluar masuk Bestari Perdana hari ini disifatkan sebagai detik bersejarah dan amat bermakna buat rakyat Johor, selepas hampir lima tahun siap dibina tetapi tidak dapat digunakan.

“Seperti yang disebut oleh Menteri, satu perkara yang menakjubkan telah kita saksikan pagi ini. Jejambat ini telah siap sejak 2021 dan tersergam indah, namun kita hanya mampu melihatnya tanpa dapat digunakan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Onn Hafiz berkata projek berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 15,000 penduduk sekitar, yang sebelum ini terpaksa melalui laluan alternatif sejauh hampir tujuh kilometer untuk membuat pusingan U.

“Dengan pembukaan jejambat ini, masa perjalanan dapat dipendekkan daripada sekitar 45 minit kepada hanya 15 minit. Ini merupakan penjimatan masa yang sangat besar dan menjadikan projek ini amat bermakna kepada kerajaan negeri dan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan