AM

Program ETA Fulbright Jadi Pemangkin Hubungan Erat AS-Malaysia - Duta

22/01/2026 09:57 PM

KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) terbuka untuk memulakan semula program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright di Malaysia jika kerajaan mahukannya, dengan melihat inisiatif berkenaan sebagai alat penting bukan sahaja untuk penguasaan bahasa tetapi juga membina pemimpin diplomatik jangka panjang dalam kalangan belia kedua-dua negara.

Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata program yang berlangsung dari 2011 sehingga pandemik COVID-19 menghentikan operasi itu, lebih daripada sekadar mengajar bahasa Inggeris dan ia memainkan peranan unik dalam membina hubungan erat antara rakyat dengan menempatkan belia AS secara langsung dalam komuniti di Malaysia.

Beliau berkata hubungan dua hala memerlukan individu dari kedua-dua negara yang bertindak sebagai pemangkin untuk secara aktif menyokong dan mengukuhkan ikatan antara kedua-dua negara.

“Saya percaya, sama seperti sukarelawan Peace Corps pada 60-an dan awal 70-an yang menjadi pemangkin hubungan AS-Malaysia selama beberapa dekad selepas itu, saya yakin ETA melakukan perkara yang sama,” katanya semasa sesi pertemuan dan ramah mesra dengan media tempatan di sini hari ini.

Beliau berkata program itu sebelum ini telah membawa kira-kira 1,000 belia AS ke Malaysia dengan ramai daripada mereka tinggal di kampung dan kawasan luar bandar, sambil mendalami budaya tempatan.

“Mereka (belia AS) mengadu, kenapa saya tidak boleh mendapatkan nasi lemak di Amerika Syarikat? Jadi saya rasa itu sesuatu yang sangat baik dan saya amat berharap program itu dapat dimulakan semula,” katanya.

Kagan berkata impak program itu bersifat dua hala, kerana masyarakat tempatan sering terkejut mendapati belia AS realitinya berbeza daripada apa yang mereka jangkakan, berdasarkan televisyen dan filem, sekali gus membantu merapatkan jurang budaya dengan berkesan.

Bergerak kepada kerjasama masa depan, Kagan berkata 2026 akan menjadi tahun yang penting kerana AS menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-250, yang diberi jenama “Freedom 250”, dengan Sabah dijangka menjadi sebahagian daripada sambutan tersebut.

“Kami merancang untuk mengadakan siri jelajah yang akan membawa pelbagai aktiviti untuk menyambut peristiwa ini. Dan kami merancang untuk datang ke Sabah… yang pastinya akan diadakan di Kota Kinabalu dan seluruh Sabah,” katanya.

Kagan juga mengesahkan bahawa Eksesais Kerjasama Pasifik AS, satu misi utama bagi kesiapsiagaan kemanusiaan dan bantuan bencana, dijadualkan kembali ke Malaysia, terutamanya Sabah tahun ini, selepas kali terakhir diadakan di Kuantan, Pahang pada 2023.

"Mereka akan berada di Sabah tahun ini. Kami tidak sabar untuk melihat lebih banyak lagi aktiviti. Saya menjangkakan akan ada lawatan dan pertukaran yang agak padat ke Sabah," katanya sambil menyatakan AS dan Malaysia menjalankan kira-kira 14 latihan ketenteraan utama setiap tahun, yang sebahagiannya turut melibatkan negeri ini.

Menyentuh mengenai hubungan ekonomi, Kagan memuji pelaburan AS yang semakin meningkat di negeri ini, memetik gergasi tenaga ConocoPhillips sebagai contoh utama pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekosistem tempatan.

Beliau berkata keputusan syarikat itu untuk melabur dengan signifikan di Sabah didorong oleh modal insan negeri, kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik, bukan sekadar kerana kewujudan sumber asli.

"Mereka telah melaburkan sejumlah besar dana di sini dan ramai telah diambil bekerja. Mereka akan mengambil lebih ramai pekerja apabila operasi ditingkatkan dan saya fikir itu mewujudkan peluang besar untuk rakyat Sabah," katanya.

Kagan turut menekankan peranan syarikat itu sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, dengan menyatakan sumbangan terbaharunya kepada sebuah hospital kanak-kanak tempatan serta sokongan kepada American Corner di Sabah.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan