JOHOR BAHRU, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi pemberian bantuan sekali beri RM400 kepada kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih seluruh negara tahun ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM1 juta berbanding tahun lepas.
Beliau berkata pihaknya sentiasa komited membela kebajikan serta masa depan mahasiswa yang melanjutkan pengajian di IPT menerusi Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Siswa 2026.
"Bantuan ini ditambah baik secara berperingkat sejak 2022 bermula RM200, dinaikkan kepada RM300 pada 2023, dan RM400 sejak 2025 serta dikekalkan bagi tahun ini sebagai komitmen berterusan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran IM Pahang Kluster Siswa 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata Yayasan Pahang turut menyediakan sokongan pendidikan lain, termasuk Geran Bantuan Pelajaran sekali beri sebanyak RM700 kepada prasiswazah dan RM1,200 bagi pascasiswazah.
Kemudahan pinjaman pendidikan serta biasiswa menerusi Skim Biasiswa Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC) turut disediakan.
Beliau berkata pendidikan merupakan pelaburan strategik Kerajaan Negeri Pahang dan pihaknya akan terus memastikan tiada anak Pahang yang tercicir daripada arus pendidikan kerana kekangan kewangan.
"Kerajaan Negeri Pahang akan terus menjadikan kebajikan mahasiswa sebagai agenda utama dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi demi membina Pahang yang lebih makmur dan sejahtera," katanya.
Pada masa sama, golongan mahasiswa diingkatkan supaya sentiasa bersikap matang, bijak menilai antara fakta dan sentimen, serta tidak terperangkap dengan permainan persepsi yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian negeri.
Sementara itu, Wan Rosdy pada sidang media berkata Kerajaan Negeri Pahang bercadang meningkatkan lagi peruntukan IM Pahang Kluster Siswa tahun hadapan bagi meringankan beban kewangan pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang keluarga.
"Tambahan (peruntukan) tahun depan kita akan fikirkan, tetapi pastinya akan lebih daripada RM400 (sekali beri) daripada sekarang dan (jumlahnya) bergantung kepada keupayaan kewangan," katanya.
Terdahulu, sebanyak 534 pelajar kelahiran negeri itu hadir menerima sumbangan dan menyaksikan pelancaran IM Pahang Kluster Siswa 2026.
Kesemua pelajar berkenaan terdiri daripada penuntut UTM, Universiti Malaya (UM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kepimpinan Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial