NIBONG TEBAL, 23 Jan (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap arah selatan seperti yang tular menerusi media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata pihaknya menerima laporan pada Rabu lepas mengenai rakaman berdurasi 13 saat itu yang memaparkan tindakan beberapa individu menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau “wheelie” serta membunyikan ekzos dengan kuat di stesen minyak kawasan rehat berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS telah berjaya mengesan enam penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemuanya yang berusia antara 16 hingga 20 tahun kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial