POLITIK

PRK Kinabatangan: 43.23 Peratus Keluar Mengundi Setakat 1 Tengah Hari - SPR

24/01/2026 02:07 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 43.23 peratus atau 20,873 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Mengikut pecahan kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi, iaitu sebanyak 44.50 peratus, diikuti DUN Sukau (44.32 peratus) dan DUN Kuamut (41.45 peratus).

Kesemua 36 pusat mengundi yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi membolehkan 48,282 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu dan pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan