AM

Kerajaan Jimat Lebih RM900 Juta Menerusi Pelaksanaan Dasar Ubat Generik - Dzulkefly

24/01/2026 03:33 PM

BUTTERWORTH, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM900 juta dalam tempoh dua tahun lepas menerusi pelaksanaan Dasar Ubat Generik dalam sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata dasar tersebut menggalakkan penggunaan ubat generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta bagi memastikan akses rakyat kepada ubat-ubatan berkualiti pada harga yang berpatutan, tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan keberkesanan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sering menekankan soal penjimatan dan beliau telah menyebut mengenai perkara ini sejak saya kembali (memegang jawatan) pada penggal kedua ini dan ia telah pun diambil tindakan. 

“Dalam dua tahun yang lepas, kita telah membuat apa yang dikatakan sebagai generic first policy, bila ada generik, kita akan meletakkan itu sebagai pilihan utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim

Selaras pelaksanaan dasar itu, Dzulkefly berkata komuniti klinikal termasuk pakar dan pengamal perubatan turut disarankan untuk mengutamakan preskripsi ubat generik.

Beliau menjelaskan ubat generik telah melalui pelbagai kajian ketat termasuk Kajian Bioekuivalen  (Bioequivalence Studies), bagi membuktikan persamaannya dengan ubat asal dari segi keberkesanan dan keselamatan.

Sehubungan dengan itu, Dzulkefly menggesa rakyat supaya tidak meragui penggunaan ubat generik kerana ia setara dengan ubat asal atau ubat inovatif.

“Bukan kerana ia (ubat generik) murah, ia tidak selamat atau tidak berkesan. Itu satu anjakan mental ataupun paradigma yang perlu rakyat faham. Ia tidak mengurangkan hal selamat ataupun hal keberkesanan bila pakar dan pegawai klinikal preskripsi ubat generik,” katanya.

Mengulas mengenai isu kelewatan projek Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata kementerian sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memantau pelaksanaan projek, khususnya projek yang dikenal pasti sebagai projek sakit.

Beliau sendiri turut mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan setiap dua hingga tiga bulan bagi meneliti status semua projek, termasuk tahap kemajuan dan permasalahan yang dihadapi serta membuat pelaporan kepada Kabinet.

“Jadi memang kita tahu dan kita bekerjasama dengan JKR sama ada pada peringkat pusat ataupun negeri, JKR adalah pelaksana, kita klien, kita memang menumpukan untuk tindakan (percepat projek) tetapi akhirnya Kementerian (Kerja Raya) atau JKR yang akan membuat keputusan dan sebagai klien, kita memberikan syor dan pertimbangan untuk mereka buat keputusan,” katanya.

Dzulkefly berkata terdapat beberapa projek hospital yang mengalami kelewatan serius, termasuk di Sabah dan Sarawak dengan memberi contoh Hospital Putrajaya dan Hospital Papar yang masing-masing mengambil masa melebihi 10 tahun untuk disiapkan.

Beliau menegaskan kontraktor perlu menunaikan tanggungjawab menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan kerana kelewatan yang terlalu lama tidak boleh diterima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan