AM

Malaysia Perlu Graduan TVET Bersifat Orientasi Masa Hadapan, Cipta Nilai

24/01/2026 08:35 PM

ARAU, 24 Jan (Bernama) -- Malaysia memerlukan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersifat berorientasikan masa hadapan yang bukan menunggu kerja tetapi mencipta nilai seiring dengan usaha negara memperkukuh Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan) Jabatan Pembangunan Kemahiran Dalila Sharingat berkata mereka bukan hanya tahu How To Operate, tetapi tahu How To Improve dan bukan hanya tahu menggunakan sistem tetapi mampu mempersoalkan, menambah baik dan menginovasi sistem. 

“TVET bukan sekadar pengeluar pekerja, tetapi TVET adalah pemangkin produktiviti negara. TVET bukan sekadar pensijilan kemahiran, tetapi TVET adalah tiket kepada mobiliti sosial. TVET bukan sekadar latihan teknikal, tetapi TVET adalah asas kepada daya saing ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen TVET Utara Siri 2024/2025 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 126 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing terdiri daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) serta sijil tenaga pengajar daripada pelbagai bidang.

Dalam pada itu, Dalila turut mengajak graduan berkenaan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat.

“Mohon ingat, SKM adalah permulaan. Laluan anda masih panjang. Anda boleh meneruskan laluan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Ijazah Sarjana Muda melalui laluan MQA (Agensi Kelayakan Malaysia), laluan antarabangsa, Pensijilan Profesional atau kelayakan mikro,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan