AM

BN Pertahan Kerusi Parlimen Kinabatangan, Naim Moktar Menang Dengan Majoriti Besar

24/01/2026 11:16 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas calonnya, Mohd Kurniawan Naim Moktar menang bergaya dengan majoriti besar 14,214 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag di sini malam ini.

Mohd Kurniawan Naim, atau lebih dikenali sebagai Naim Moktar, meraih 19,852 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan yang memperoleh 5,638 undi manakala calon Bebas Goldam Hamid mendapat 946 undi.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, yang juga bapa kepada Mohd Kurniawan Naim, pada 5 Dis tahun lepas.

Pada  Pilihan Raya Umum ke-15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas meraih majoriti 4,330 undi menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

Eddy Syaizul Rizam berkata sebanyak 369 kertas undi yang ditolak pada PRK itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat pada PRK berkenaan dan berkata perjalanan proses demokasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Terdahulu, Mohd Kurniawan Naim, yang memakai baju kemeja T hitam hadir ke dewan itu pada 9.05 malam dengan diiringi Timbalan Pengerusi BN Datuk Jafry Ariffin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan