SUKAN

APG 2025: Kar Gee Hadiah Emas Ke-55 Malaysia 

25/01/2026 02:22 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA, 25 Jan (Bernama) -- Atlet Wong Kar Gee menghadiahkan pingat emas ke-55 Malaysia menerusi acara Lompat Jauh Lelaki T12 dan turut mencatat rekod baharu pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Thailand. 

Kar Gee membuat lompatan sejauh 6.83 meter (m) pada saingan akhir, mengetepikan rakan senegara Ahmad Zuaiman Shamsuddin yang mencatat 6.35m di tempat kedua, manakala Muhammad Nazri Hazmi Mohan pada kedudukan ketiga dengan lompatan sejauh 6.31m.

“Itu detik yang sungguh istimewa. Saya amat gembira dapat menghadiahkan emas ke-55 kepada Malaysia. Satu yang bermakna apabila kami berjaya mencapai sasaran.

“Perjalanannya bukan mudah, banyak latihan perlu dilalui. Ini pertandingan pertama saya tahun ini dan keputusan yang saya peroleh amat baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pencapaian pingat itu begitu bermakna buat dirinya selepas berdepan cabaran pada edisi terdahulu di Kemboja 2023, apabila terpaksa bertanding dalam kategori berbeza susulan kekeliruan pengelasan, namun tetap menamatkan saingan pada tempat kedua walaupun mengalami kecederaan.

Kar Gee turut berkongsi sasaran bagi tahun ini untuk mengatasi rekod peribadi sejauh 7.22 meter yang dicatatkan di Beijing pada 2019.

Kontinjen negara menyasarkan keseluruhan 181 pingat termasuk 55 emas, manakala pada edisi Kemboja 2023, Malaysia menamatkan kempen di tempat keempat dengan 50 emas, 38 perak dan 35 gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan