SUNGAI PETANI, 26 Jan (Bernama) -- Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kedah mengambil pendekatan teliti dan bersistematik dalam perancangan membina sebuah akademi silat di Gurun dekat sini, bagi memperkasakan warisan seni bela diri itu di negeri ini.
Penaungnya Datuk Zuraidi Rahim berkata mereka tidak mahu tergesa-gesa melaksanakan perkara itu dan akan menjalankan kajian terperinci termasuk berbincang dengan pihak berkepentingan bagi memastikan akademi tersebut benar-benar mampu membangunkan bakat baharu dunia persilatan.
“Kita tidak mahu akademi ini ditubuhkan sekadar melepaskan batuk di tangga. Oleh itu, satu mekanisme terbaik sedang dirangka supaya akademi yang diwujudkan nanti lengkap dengan prasarana seperti asrama, kemudahan makan, tempat latihan dan keperluan lain.
“Ini penting bagi melahirkan atlet yang berdaya saing dan berdisiplin. Alhamdulillah, melalui PESAKA dan perguruan silat di Kedah, pelbagai program serta latihan terus dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu bermula dari peringkat kanak-kanak hingga remaja dan dewasa.
“Mereka ini yang kelak berpotensi diserapkan ke dalam akademi silat yang akan ditubuhkan pada masa yang sesuai,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr Raja Abdul Majid di sini baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, Zuraidi berkata pihaknya telah menyuarakan pandangan kepada kerajaan agar penyediaan gelanggang silat baharu serta kemudahan latihan di seluruh negara diberikan keutamaan.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja bertujuan menyuburkan warisan seni silat dalam kalangan generasi muda malah menjadi platform persediaan bagi menghadapi temasya sukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Penyediaan prasarana satu keutamaan dan Alhamdulillah, Perdana Menteri menunjukkan sikap positif serta memberi perhatian kepada pembangunan gelanggang dan akademi silat bagi membentuk generasi muda yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial