AM

MINDEF Peruntuk RM850,000 Laksana 17 Projek Jiwa MADANI ATM Di Melaka

27/01/2026 12:34 PM

MELAKA, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM850,000 bagi melaksanakan 17 projek di bawah Program Jiwa MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata program itu satu daripada inisiatif di bawah Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang bertujuan mengukuhkan hubungan, membina kepercayaan dan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap peranan bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Projek yang dilaksanakan ini akan memberikan tumpuan kepada projek yang menyumbang kepada kesejahteraan sesuatu komuniti contohnya baik pulih pagar bagi kawasan tanah perkuburan di Kampung Cheng ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Jiwa MADANI Kementerian Pertahanan 2026 di Masjid An-Najwan, Cheng di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Azhan Md Othman, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Pada majlis itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi menyenggara pagar Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan.

Kerja-kerja berkenaan dilaksanakan secara gotong-royong melibatkan pegawai dan anggota tentera serta masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata ATM sentiasa membuka ruang kerjasama dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek fizikal dalam usaha mengurangkan kos. 

"Mungkin kalau pakai kontraktor RM200,000 boleh dapat satu projek tapi kalau dilaksanakan secara gotong-royong dengan kerjasama daripada ATM, mungkin boleh buat tiga projek dengan peruntukan tersebut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan