AM

e-Rakyat Jadi Platform Sehenti Urus Bantuan Rakyat Pahang - Wan Rosdy

27/01/2026 08:09 PM

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Bantuan Rakyat Negeri Pahang atau e-Rakyat sebagai platform pusat sehenti bagi mengurus dan menyelaras bantuan rakyat secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sistem itu selari dengan hala tuju pentadbiran negeri yang menekankan kecekapan, ketelusan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata e-Rakyat membolehkan kerajaan negeri membina, mengumpul dan menyelaraskan data bantuan antara jabatan serta agensi, sekali gus mengelakkan pertindihan penerima dan pembaziran peruntukan awam.

“Matlamat utama pelaksanaan sistem ini adalah untuk memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, disalurkan tepat pada masanya dan berasaskan keperluan sebenar rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sistem itu dilancarkan pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Bersama YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata fasa pertama  pelaksanaan sistem itu melibatkan pendaftaran Ketua Isi Rumah dan Ahli Isi Rumah serta semakan penerima bantuan sedia ada, khususnya di bawah Inisiatif Makmur Pahang.

Katanya fasa kedua pula akan melibatkan permohonan bantuan secara dalam talian yang dijadualkan bermula April ini dan seterusnya diperluaskan kepada bantuan Kerajaan Negeri Pahang serta bantuan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata rakyat Pahang boleh mendaftarkan diri ke dalam sistem itu menerusi portal erakyat.pahang.gov.my.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan